Antara gunting dan rotary cutter, anda pilih yang mana?
Kami rasa susah nak pilih salah satu sebab kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing. Majoriti tukang jahit di malaysia ni lebih familiar dengan gunting kerana lebih mudah didapati dan lebih biasa digunakan. Namun jika anda tidak pernah menggunakan rotary cutter, kami syorkan anda mencubanya kerana kami berpendapat bahawa anda perlukan kedua-duanya. Jom kita bincangkan perbezaan dan kelebihan antara gunting dan rotary cutter.
YANG MANA SATU LEBIH JIMAT KOS?
Secara amnya, gunting kain adalah lebih murah jika dibandingkan dengan rotary cutter. Anda boleh dapatkan gunting kain yang baik dengan harga yang tidak lebih daripada RM20 seperti gunting jenama Rider. Sudah pasti ada gunting kain profesional yang harganya mencecah ratusan ringgit, tapi gunting RM20 pun sudah cukup baik untuk beginner yang mahu belajar menjahit. Gunting juga tahan lebih lama. Bila dah tumpul pun gunting boleh diasah semula. Upah asah gunting juga tidaklah terlalu mahal. Jika pandai asah sendiri, lagi jimat.
Rotary cutter pula, jika jenama khas untuk fabrik seperti Olfa, KAI, Fiskars dan Prym, saiz yang paling kecil 28mm pun harga nya sudah mencecah RM40-RM80. Jangan lupa anda perlukan self-healing cutting mat juga untuk digunakan bersama rotary cutter tu supaya pisaunya tidak mudah tumpul. Jika anda hanya perlu memotong kain yang bersaiz kecil seperti projek quilting, cutting mat yang kecil pun sudah memadai. Namun jika anda ingin memotong kain untuk pakaian, anda perlukan cutting mat yang besar bersaiz A1, A0 atau gabungkan beberapa keping cutting mat. Pisau rotary blade pula perlu ditukar jika sudah tumpul. Bertambah kos lagi.
Kesimpulannya jika dibandingkan dari segi harga, mana satu yang lebih jimat kos? sudah tentu gunting pemenangnya.
YANG MANA SATU LEBIH MUDAH DIGUNAKAN?
Dalam soal ini, tiada jawapan yang tepat kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing. Gunting lebih senang digunakan untuk memotong lengkungan dan perincian yang halus. Namun jika anda perlu memotong garisan lurus, seperti neckband dan bias tape, rotary cutter adalah pilihan terbaik. Ini tidak bermakna anda tidak boleh potong lengkungan menggunakan rotary cutter. Jika anda sudah biasa dan mampu mengawal tangan anda untuk memotong lengkungan secara freehand, ianya tidak menjadi masalah. Anda hanya perlu kerap practice sehingga mahir menggunakannya. Akan tetapi anda masih memerlukan gunting untuk memotong perincian yang halus seperti lace, trimming dan sebagainya.
Untuk memotong garisan lurus, anda boleh gunakan pembaris grid transparent bersama rotary cutter supaya anda boleh mengukur dan memotong secara serentak. Garisan potongan rotary cutter juga lebih kemas dan lurus. Jika menggunakan gunting, anda perlu menanda garisan pada kain dahulu kemudian baru digunting. Proses ini memang memakan masa. Untuk projek quilting juga lebih sesuai menggunakan rotary cutter kerana memudahkan untuk memotong beberapa kepingan geometrik secara serentak.
Secara kesimpulannya:
- Straight cutting – Rotary Cutter
- Lengkungan dan perincian halus – Gunting
KESESUAIAN DENGAN JENIS FABRIK
Jenis fabrik juga mempengaruhi kesesuaian penggunaan rotary cutter dan gunting. Oleh itu anda boleh pilih yang mana satu lebih sesuai digunakan bergantung kepada jenis fabrik yang anda kerap gunakan. Berikut adalah beberapa contoh kesesuaian fabrik mengikut pendapat kami:
Quilting Cotton – Rotary cutter menang untuk ketepatan apabila digunakan bersama quilting ruler berbanding gunting.
Knits – Lebih laju dengan rotary cutter.
Denim – Perlu tekanan yang lebih kuat jika menggunakan rotary cutter. Lebih mudah dengan gunting.
Leather – Potongan yang bersih dan kemas dengan rotary cutter.
Sequins – Tak boleh guna rotary cutter. Habis rosak mata pisau nanti. Perlu guna gunting tapi jangan guna gunting kesayangan anda tau.
KESIMPULANNYA?
Seperti yang kami sarankan di awal artikel ini, lebih elok jika anda mempunyai kedua-duanya sekali. Gunting dan rotary cutter mempunyai kelebihan dan kegunaan masing-masing yang akan memudahkan kerja anda dalam memotong kain dan menjahit. Jika anda tidak pernah menggunakan rotary cutter kerana tidak tahu akan kewujudannya atau takut susah nak guna, kami syorkan anda mencubanya, mungkin anda akan berubah fikiran tentangnya. Jika anda baru belajar menjahit dan tidak tahu membezakan antara gunting biasa dan gunting kain, apa kata anda baca artikel ini: 4 Ciri Kenalpasti Gunting Kain Yang Baik