4 Ciri Untuk Kenalpasti Gunting Kain Yang Baik

Bagi mereka yang tidak pernah menjahit mungkin mereka menganggap semua gunting adalah sama. Walaupun gunting universal masih boleh digunakan untuk menggunting kain, kerja-kerja menggunting kain menjadi lebih mudah dan tidak menyakitkan tangan anda jika anda menggunakan gunting yang khas untuk menggunting kain.

Bagaimana nak membezakan antara gunting biasa dan gunting kain?

1. Gunting Kain boleh didirikan pada sisinya tanpa sokongan

Cara paling mudah untuk mengenalpasti sama ada gunting yang anda pegang itu gunting kain atau tidak, cuba dirikan gunting pada sisinya atas permukaan yang rata seperti dalam gambar di bawah. Gunting kain sepatutnya mampu didirikan dalam posisi ini kerana teknik menggunting kain yang betul adalah dengan meluncurkan gunting pada permukaan meja sambil memotong kain tanpa mengangkat kain terlalu tinggi daripada permukaan meja. Oleh itu gunting tersebut perlu berupaya untuk kekal dalam posisi ini tanpa apa-apa sokongan supaya anda boleh mengunting dengan lancar dan selesa walaupun perlu menggunting kain dalam kuantiti yang banyak dan dalam tempoh yang lama.

 

2. Bentuk bilah gunting 

Antara ciri-ciri gunting kain yang berbeza dari gunting biasa adalah bentuk bilah gunting. Bilah gunting universal kebiasaannya mempunyai ketebalan yang sama dari pangkal ke hujung. Manakala gunting kain pula mempunyai bilah gunting yang meruncing ke hujung. Bilah yang meruncing ini penting untuk menggunting pelbagai jenis fabrik dengan tepat walaupun pada kain yang licin, lembut, flexible, dan sebagainya.

3. Bentuk pemegang gunting

Walaupun  gunting universal juga ada yang mempunyai bentuk bilah gunting yang meruncing, anda boleh membezakan antara gunting universal dan gunting kain daripada bentuk pemegang gunting. Gunting kain mempunyai pemegang yang bengkok (bent handle) pada sudut 30 darjah supaya mudah memotong kain atas permukaan yang rata seperti yang dijelaskan pada point no.1. Pemegangnya yang bawah juga lebih besar dan boleh memuatkan semua jari kecuali ibu jari. Ciri ini penting untuk genggaman yang betul, iaitu tiada jari yang berada di luar supaya gunting dapat dipegang dengan kemas dan selesa.

4. Berat

Gunting kain seharusnya lebih berat daripada gunting biasa. Seperti yang dijelaskan dalam point no. 1, adalah penting untuk gunting kain boleh didirikan pada sisinya tanpa sokongan. Lagi berat gunting itu, maka ianya lebih stabil dan menjimatkan tenaga anda untuk menggunting kain. Ketika memotong kain, gunting anda sepatutnya sentiasa mencecah permukaan meja.  Gunting yang berat itu sepatutnya tidak mengganggu anda pun. Jika anda terasa gunting yang anda gunakan terlalu berat dan melenguhkan tangan, itu bermakna anda memotong kain dengan cara yang salah. Mungkin anda mengangkat gunting itu ketika memotong kain.

 

Anda belajar sesuatu daripada artikel ini? Apa kata kongsikan kepada kawan-kawan anda.

You might also like
Tags: alat jahit, Gunting

More Similar Posts