Bias dalam istilah jahitan merujuk kepada arah ira menyerong 45 darjah pada fabrik. Menjahit pakaian yang dipotong pada ira bias agak mencabar, tetapi latihan yang kerap akan membantu anda membiasakan diri dengan sifat kain yang dipotong pada ira bias. Fabrik yang dipotong pada ira bias mempunyai drape yang cantik dan sedikit memeri. Bias lebih relevan untuk kain jenis woven berbanding kain knit kerana kain knit sudah mempunyai stretch sama ada 2-way stretch atau 4-way stretch.
![](https://www.ulatkain.com/wp-content/uploads/2021/07/20210705_3-01-600x600.png)
BILAKAH BIAS DIGUNAKAN?
- Penggunaan potongan bias yang paling biasa digunakan ialah bias tape atau juga dipanggil lis kun. Bias tape sangat sesuai digunakan pada lengkungan seperti bukaan leher kerana sifatnya yang flexible membolehkan fabrik melengkung tanpa sebarang gelembung.
- Pattern pakaian boleh dipotong pada ira bias untuk mendapatkan ekstra drape dan flow yang lembut. Ia sangat sesuai untuk menjahit dress, dan lingerie. Juga sesuai untuk membuat ruffle.
- Oleh kerana potongan bias adalah secara diagonal, ini bermakna jika pola dipotong daripada fabrik bercorak stripe atau plaid anda akan mendapat corak yang diagonal. Ini sesuai digunakan sebagai detail hiasan pada yoke, poket, cuff dan collar.
![](https://www.ulatkain.com/wp-content/uploads/2021/07/WEEK-19-01-600x600.png)
TIPS MENJAHIT DENGAN POTONGAN BIAS
- Benang kain woven yang dipotong pada ira bias tidak akan mudah terburai.
- Potong pola di kain pada ira bias sehelai demi sehelai. Elakkan potong beberapa helai secara serentak kerana kemungkinan untuk kain yang berada bawah bergerak dan beralih adalah sangat tinggi dan akan mengurangkan ketepatan sudut 45 darjah.
- Jika keseluruhan pakaian dipotong pada ira bias, pastikan anda menggantung pakaian yang dijahit selama 24-jam terlebih dahulu sebelum membuat kemasan hem (kelim), biasanya arahan ini ada ditulis pada pattern instruction. Hal ini kerana jika anda terus menjahit kemasan hem, kemungkinan sebahagian pakaian akan lebih stretch dari bahagian yang lain dan menyebabkan hemline yang tidak sekata. Selepas tempoh 24-jam anda boleh trim hem supaya labuhnya sekata.