6 Tips Menjahit Velcro

Velcro adalah sejenis pengikat yang terdiri daripada dua komponen berpasangan iaitu hook dan loop. Anda pasti tidak asing dengan velcro kerana ia telah digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang dan industri seperti dalam pembuatan kasut, pakaian, lampin bayi dan dewasa, alatan perubatan, automotif, ketenteraan, pembungkusan dan sebagainya. Anda perlu standby velcro dalam kotak barang jahit anda tau sebab velcro ni banyak kegunaannya dan sangat mudah digunakan. Ianya sesuai untuk pakaian bayi, kanak-kanak dan boleh digunakan untuk barangan kraf seperti pakaian anak patung, beg, wallet dan sebagainya. Namun masih ada yang tidak berani atau mengelak menggunakan velcro kerana masalah jahitan melompat, jarum patah, benang putus atau jahitan yang tidak kemas. Jika anda mempunyai masalah ini, apa kata anda cuba tips berikut:

1. Pilih velcro yang dicipta untuk dijahit

Seperti yang disebut sebelum ini, velcro digunakan dalam pelbagai bidang dan industri. Oleh itu bukan semua velcro dalam pasaran itu dicipta untuk dijahit pada pakaian, terutamanya jenis velcro yang berpelekat di belakangnya atau jenis velcro yang tebal dan keras. Velcro berpelekat tidak sesuai digunakan untuk menjahit kerana gam pelekat itu akan melekat dan bergumpal pada jarum dan menyebabkan benang anda putus. Belilah velcro yang dijual di kedai barangan jahit, dan bukan dari kedai barangan hardware. Pilih velcro yang lembut dan boleh melentur mengikut fabrik.

2. Gunakan Jarum yang sesuai

Velcro diperbuat daripada plastik. Oleh itu adalah lebih sesuai jika anda menggunakan jarum yang lebih kuat untuk mengelakkan masalah jarum bengkok dan patah. Gantikan jarum universal anda dengan jarum yang lebih tajam dan tebal seperti jarum denim. Ini juga akan membantu untuk mengelakkan jahitan yang melompat ketika menjahit pada velcro. Untuk baca lebih lanjut tentang jenis-jenis jarum mesin jahit, sila klik di sini .

3. Pilih benang yang sesuai

Adalah lebih baik jika anda boleh dapatkan benang yang lebih kukuh dan kuat seperti benang nylon. Jika tidak, benang polyester 100% juga sudah memadai. Untuk baca lebih lanjut tentang jenis-jenis benang jahitan, klik di sini. Untuk mendapatkan jahitan yang kemas, pastikan anda menggunakan benang yang sama warna dengan velcro yang anda gunakan. Untuk benang sekoci pula padankan warna benang yang sama dengan fabrik yang anda gunakan. Pastikan ketegangan benang anda seimbang supaya benang atas tidak kelihatan pada bahagian bawah dan juga sebaliknya. Uji ketegangan jahitan pada kain perca sebelum menjahit pada projek jahitan anda. Ikut panduan ketegangan benang mesin jahit di sini. 

4. Gunakan tapak jahit zip

Untuk menjahit velcro pada fabrik, anda perlu menjahit pada tepi hujung velcro yang rata dan mungkin agak sukar untuk dilihat jika anda menggunakan tapak menjahit yang biasa. Tukarkan kepada tapak zip untuk menjahit tepi velcro dengan lebih mudah. Jika anda menggunakan vercro jenis tape, trim hook dan loop pada bahagian tepi terlebih dahulu untuk mendapatkan permukaan yang bersih dan rata untuk dijahit.

5. Trim bucu tajam

velcro berbentuk petak mempunyai bucu yang tajam dan mungkin tidak selesa jika terkena pada kulit atau mudah tersangkut pada fabrik lain. Trim bucu velcro untuk mendapatkan bucu yang bulat dan smooth.

6. Kedudukan yang tepat

velcro akan berfungsi dengan lebih kuat jika keluasan permukaan yang bersentuhan lebih besar. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda memastikan kedudukan velcro yang tepat sebelum anda menjahit. Anda boleh menggunakan jarum peniti namun jika fabrik dan velcro anda tebal mungkin agak sukar untuk menggunakan jarum peniti. Sebagai alternatif, anda boleh gunakan marker fabrik untuk menandakan di sekeliling velcro dan jahit perlahan-lahan untuk memastikan kedudukan velcro di dalam kawasan yang anda tandakan. Anda juga boleh menggunakan glue stick untuk melekatkan velcro ke pada fabrik untuk mengurangkan pergerakan ketika anda menjahit.

Sekian saja tips untuk menjahit dengan velcro. Semoga membantu dan selamat mencuba!

You might also like
Tags: sewing tips, velcro

More Similar Posts