Mengaku aja lah, kita semua ada bad habit semasa menjahit. Ada habit yang kita tau salah, tapi kita buat jugak. Ada habit yang memang pantang larang datuk nenek, yang paling kita jauhkan. Kami senaraikan 5 tabiat buruk menjahit di bawah ni. Berapa banyak yang anda pernah lakukan?
- Guna gunting kain untuk material selain dari fabrik
Ini pantang larang tukang jahit paling utama. Jika anda baru berjinak dalam dunia jahitan mungkin anda tidak tahu. Anda perlu ada gunting khas untuk kain yang tidak boleh digunakan untuk memotong bahan lain. Jika gunting kain digunakan untuk memotong kertas, plastik dan sebagainya, ia berpotensi untuk tumpul dengan lebih cepat. Jika anda pernah mencuba memotong fabric dengan gunting yang tumpul, pasti anda tahu bertapa ianya sangat menguji kesabaran dan menyakitkan hati.
- Tidak membersihkan mesin jahit anda
Habuk dan fiber daripada benang dan kain akan terkumpul pada komponen mesin jahit anda selepas digunakan. Jika iannya tidak dibersihkan dengan kerap, lama-kelamaan habuk dan fiber ini akan bergumpal sehingga mesin jahit anda tidak dapat berfungsi dengan baik hingga mengakibatkan kerosakkan yang lebih serius jika dibiarkan. Sediakanlah berus make up terpakai berdekatan mesin jahit anda untuk membersihkannya setiap kali anda menukar benang atau tiap kali selepas siap projek jahitan anda.
- Tidak pernah hantar mesin jahit untuk diservis
Point ini berkait rapat dengan point #2. Membersihkan mesin jahit anda sahaja tidak mencukupi. Sama seperti kereta anda, mesin jahit juga perlu diselenggara secara berkala, sebaik-baiknya setahun sekali. Anda boleh menghantar mesin jahit anda ke pusat servis mesin jahit yang terdekat atau hubungi juruteknik yang boleh memberikan servis penyeleggaraan dari rumah ke rumah. Kos penyelenggaraan juga lebih murah jika nak dibandingkan dengan kos untuk membaiki mesin jahit anda jika rosak kerana tidak pernah diselenggara.
- Pasang benang ketika mesin dalam mode “ON”
Kami tahu mesti ramai yang buat macam ni kan? Bahaya! No no no. Ada yang cedera nanti. Sila matikan mesin jahit anda sebelum anda pasang benang, ya. Jika alasan anda hidupkan mesin sebab perlukan cahaya dari lampu LED mesin, kami cadangkan anda beli lampu LED berasingan yang boleh diklipkan pada meja mesin jahit anda.
- Tidak periksa ketegangan benang sebelum mula menjahit.
Kesalahan menjahit ini kadang-kadang sukar untuk diperhatikan. Untuk mendapatkan ketegangan benang yang tepat untuk fabrik anda mungkin sesuatu yang sukar jika anda tidak mahir namun ianya sangat penting kerana ini akan menentukan kualiti hasil jahitan anda. Jangan terburu-buru dan luangkan masa beberapa minit untuk menguji dan menyelaras ketegangan benang pada cebisan kain perca sebelum anda mula menjahit. Gantikan tabiat ini dan anda akan lihat hasilnya. Nota: kain yang lebih berat/tebal memerlukan ketegangan yang lebih tinggi.